Khamis, 22 September 2016

STRATEGI KERAJAAN MEMPROMOSIKAN BIDANG PERTANIAN



Bagi memulihkan persepsi rakyat terutamanya generasi muda terhadap pertanian, kerajaan telah menyenaraikan banyak intensif dan kemudahan bagi mendorong mereka menyertai sektor pertanian ini. Pelbagai program pertanian yang bernafas baru dan berinovasi khusus untuk menambahkan produktiviti serta pendapatan petani di Malaysia telah diperkenalkan. 

Kerajaan Malaysia juga telah menyediakan sebanyak RM30 juta bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, mewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Di samping itu, kerajaan menggalakkan usahawan, petani dan pekebun kecil agar dapat mengoptimumkan amalan agronomi yang baru, pengurusan ladang secara moden, penggunaan jentera baru dan teknologi terkini serta menggiatkan Amalan Pertanian Baik (APB) atau juga dikenali sebagai Good Agricultural Practices (GAP). APB merupakan satu pendekatan dalam sistem pengembangan pertanian di  Jabatan Pertanian Malaysia bertujuan untuk memastikan pengeluaran hasil pertanian berkualiti dan selamat dimakan. 

Beberapa pameran pertanian seperti Pameran Pertanian dan Agro Pelancongan (MAHA) anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diadakan dua tahun sekali bertujuan untuk mempromosi produk-produk pertanian yang diusahakan di Malaysia kepada masyarakat. MAHA juga dijadikan platform untuk mendedahkan belia kepada bidang pertanian di samping memperkenalkan Malaysia sebagai hab pertanian dan industri asas tani untuk pelabur asing dan persendirian.

Selain itu, beberapa buah Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC seperti yang terdapat di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan juga telah dibuka. Ini merupakan kaedah pemasaran moden di mana RTC ini bertindak sebagai sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian tempatan. RTC jug memainkan peranan sebagai pusat yang menghubungkan pengeluar dengan pengguna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan