Khamis, 22 September 2016

KEPENTINGAN SEKTOR PERTANIAN



Sektor pertanian pernah menjana pendapatan penting kepada negara sebelum kebangkitan era kegemilangan perindustrian yang dibawa oleh arus pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Dasar Perindustrian. Sebelum tampuk pemerintahan bertukar tangan, Malaysia menghasilkan pelbagai tanaman komersial seperti padi sawah, kelapa sawit, lada hitam dan nanas. Walaupun begitu, kepentingannya tidaklah diabaikan sepenuhnya kerana beliau telah melancarkan Dasar Pertanian Negara yang sebenarnya menjadi garis panduan kepada pembangunan sektor ini.

Berikut terdapat beberapa kepentingan sektor pertanian:

1.    Pertumbuhan ekonomi

Pertanian di negara kita hanya berfungsi untuk memenuhi keperluan asas rakyat tempatan. Kini, fungsi pertanian ternyata telah berubah. Pertanian dilihat sebagai perniagaan yang memberi prospek besar kepada seluruh masyarakat Malaysia, membantu merapatkan jurang sosial ekonomi dalam masyarakat dan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

2.    Mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan bahan makanan
 
Bidang pertanian dilihat dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan bahan makanan dari negara lain. Kebanyakan bahan makanan asas seperti beras, kopi, koko dan bijirin yang lain sesuai ditanam di negara ini.  Maka kita tidak perlu mengimport bahan makanan ini daripada negara luar.

3.    Membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat

Mengikut bancian yang dibuat, jumlah tenaga pekerja di sektor pertanian pada 2010 adalah dianggarkan seramai 390,708 orang. Kategori pekerja bergaji adalah seramai 384,769 (98.5%) dan hanya 5,939 orang (1.5%) adalah pemilik yang bekerja, rakan niaga yang aktif dan pekerja keluarga tidak bergaji. Sektor pertanian menyumbang 50 peratus peluang pekerjaan. Lagi pula, pekerjaan ini tidak memerlukan kelulusan yang tinggi berbanding kerja profesional dan separuh profesional.

4.    Memberi keuntungan yang besar kepada pelabur dan pengusaha
 
Pertanian juga turut memberi keuntungan yang besar kepada pelabur dan pengusaha yang melakukannya. Sekiranya pengusaha menitik beratkan aspek kuantiti dan kualiti, maka harga pasaran hasil yang akan dijual sudah tentu akan meningkat.  Bagi menambahkan lagi daya saing produk yang dihasilkan, proses tambah nilai dalam aspek pemprosesan, penggredan, pembungkusan dan pemasaran perlu juga diberikan keutamaan.

5.    Memenuhi keperluan bahan makanan
 
Dengan menceburi bidang pertanian, secara tidak langsung kita akan dapat membantu negara memenuhi keperluan bahan makanan sekaligus mengelakkan krisis makanan daripada berlaku. Dengan bilangan penduduk Malaysia yang dianggarkan seramai 28.6 juta penduduk pada tahun 2010 dan dijangka meningkat sehingga 30.5 juta penduduk menjelang tahun 2020, tentunya keperluan makanan akan semakin meningkat.

6.    Agro-pelancongan
 
Pertanian juga dapat dijadikan perniagaan apabila konsep agro-pelancongan diterapkan. Agro-pelancongan dibangunkan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani sementara Kementerian Pelancongan membantu dari aspek promosi. Pelbagai aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan disediakan kepada para pelancong. Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam agro-pelancongan ini adalah lawatan ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan, homestay dan sebagainya.

              7.    Meningkatkan pendapatan negara

Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang penting yang mendapat tumpuan dalam perdagangan dunia kerana sektor ini merupakan pembekal makanan dan sumber bahan mentah kepada penduduk di dunia. Di Malaysia, sektor pertanian amat penting dan menyumbang lima peratus kepada pendapatan kasar negara. Hal ini dapat membantu meningkatkan pendapatan negara dan secara tidak langsung dapat membantu ekonomi negara kita. Sektor pertanian di Malaysia berfungsi sebagai pembekal sumber makanan kepada seluruh penduduk di Malaysia. Bagi tanaman komersial pula, negara akan menambahkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui pengeskportan tanaman seperti kelapa sawit dan lada hitam. Secara tidak langsung, pengaliran wang ke luar negara dapat dikurangkan. Ringkasnya, dengan adanya sinergi yang hebat, industri ini mampu menjadi penyumbang terbesar seperti suatu ketika dahulu.

16 ulasan: