Khamis, 22 September 2016

POTENSI BIDANG PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN



Sektor pertanian telah memainkan peranan yang besar pada awal tahun 1920-an menerusi industri getah yang mengangkat nama Malaysia sebagai pengeluar getah asli utama dunia sehingga tahun 1980-an. Ekonomi negara selepas merdeka dimonopoli oleh aktiviti-aktiviti pertanian dan perlombongan sehinggakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada ketika itu menunjukkan sumbangan sektor petanian dan perlombongan mencecah angka 46 peratus.
Inisiatif penubuhan institusi-institusi pembangunan kawasan, penyatuan dan pemulihan tanah seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi-agensi pembangunan wilayah pula telah mempergiatkan lagi pembukaan tanah baru untuk tanaman industri di samping mendokong matlamat membasmi kemiskinan yang termaktub di dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Sementara itu, penubuhan agensi-agensi khusus seperti FAMA (1965), Bank Malaysia (BPM) (1969), MARDI (1969), Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) (1971), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) (1971), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (1970), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) (1972), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) (1973) dan beberapa agensi yang lain telah membantu dari segi kemudahan pemasaran, penyelidikan, kredit, dan khidmat sokongan kepada kumpulan sasar dan mempergiatkan lagi pembangunan sektor pertanian pada ketika itu.
Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan keyakinan tinggi bahawa sektor pertanian dan asas tani ini mampu menjana bukan sahaja pendapatan petani-petani luar bandar malahan juga ekonomi negara. Kesungguhan beliau dalam memajukan sektor pertanian terbukti dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan belanjawan 2006 yang telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar kepada sektor ini.
Selain itu, pengeluaran dan penggunaan biofuel berasaskan minyak sawit atau biofuel minyak sawit turut dilihat mampu untuk menjadi sumber pertumbuhan baru ekonomi negara. Kaedah ini telah digunakan di beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) sebagai bahan api untuk pengangkutan dan industri. Di negara Jerman, biofuel digunakan bagi keretapi komersil dengan prestasi yang baik. Permintaan pasaran bagi biofuel minyak sawit ini adalah amat menggalakkan. Pada tahun 2004, permintaan bagi biofuel dunia ialah sebanyak 2.5 juta tan dan dijangka meningkat pada kadar 25 peratus setahun.
Bagaimanapun, di sebalik keyakinan kerajaan terhadap sektor pertanian, bank-bank di negara ini pula melihat dari sudut yang berbeza. Keyakinan lebih tertumpu kepada sektor perindustrian dan perumahan bagi diberikan kemudahan pinjaman kewangan. Keadaan ini sedikit sebanyak akan memberikan impak terutamanya bagi petani meningkatkan kualiti dan taraf mereka dari taraf petani tradisional kepada petani moden.
Baru-baru ini, Perdana Menteri telah memberikan teguran dan berharap agar pihak bank memberikan kepercayaan mereka terhadap sektor pertanian dengan memudahkan proses pinjaman yang melibatkan para petani sejajar dengan dasar dan penumpuan kerajaan terhadap ‘enjin ketiga’ atau sektor pertanian ini.
Kempen Buku Hijau yang dilancarkan pada bulan Mac lalu, dan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2006) yang diadakan baru-baru ini dan kata-kata ‘Berdaya maju sendiri’ yang dilaungkan beliau terhadap pembabitan rakyat dalam menghasilkan sebahagian daripada keperluan makanan sendiri perlu diadaptasikan.
Secara logiknya, segala rungutan mengenai harga barangan bahan mentah seperti sayuran, daging dan sebagainya tidak akan lagi kedengaran sekiranya laungan ini diterjemahkan dalam kehidupan. Jika setiap warga mampu menghasilkan makanan sendiri, seolah sebahagian daripada masalah negara telah dapat diselesaikan. Bukan sahaja masalah ekonomi individu, masalah ekonomi negara turut dapat diselesaikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan